Wednesday, December 24, 2014

KUPIKAT JANDAKU - PROLOG

Prolog



Ralit dia memerhati lelaki yang seorang itu berkemas. Laju sahaja tangan kekar  menyusun itu ini. Sekejap sahaja meja yang tadi bersepah berubah kemas. Segala kertas yang sudah dikepal-kepal tadi elok diterbangkan masuk ke dalam bakul sampah yang tidak jauh daripada meja kerja lelaki itu.
“Semua dokumen dah siap?” tanya dia.
Lelaki itu mengangguk. “Ada semua dah aku bubuh dalam briefcase aku ni.”
“Okey. Baju, seluar, boxers...”
“Oh, shut up! Kau tak nampak tu?” Lelaki itu memuncungkan bibir ke arah tepi pintu. Sebuah beg troli sedang berdiri di situ.
Mohd Ikram mengekek. Wajah merah sahabatnya ditatap dengan perasaan geli hati. Dalam tegas dan garang Raif Sufyan Hadi, ada juga menyimpan rasa malu apabila dia menyentuh bab-bab ‘dalaman’. Pantang sebut sikit dah nak menyinga.


KUPIKAT JANDAKU BAB 1

Bab 1



DIA menyelak sedikit langsir tingkap sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi deruan enjin kereta. Apabila cermin di bahagian hadapan sebelah kiri diturunkan, dia segera memberi isyarat supaya encik pemandu menunggunya sebentar.
         “Encik Zahin dah sampai?”
         Izyan menoleh ke arah teman serumah yang sedang berbaring di hadapan televisyen. Dalam leka menonton, sempat pula Zana tanyakan soalan itu kepadanya.
“Dah,” jawabnya ringkas. Dia kemudian membelek pantulan wajah dalam cermin tegak yang melekat kuat di tepi dinding berhampiran pintu hadapan. Apabila sudah berpuas hati dengan penampilan dirinya, dia segera mencapai dompet kecil di atas meja.
“Aku nak pergi dah ni.” Dia memberitahu.  
“Izyan!”
Wanita muda yang baru hendak membuka daun pintu itu segera menoleh. Wajah Zana dipandang semula. “Nak apa?” tanya dia.   
Sambil tersengih Zana memesan, “Kau pergi joging aje dengan Encik Zahin tu! Jangan melencong ke tempat lain pulak.”

KUPIKAT JANDAKU BAB 2

Bab 2



Lelaki itu menghampiri dirinya dengan nafas mencungap. Penat sungguh gayanya. Macam orang semput pun ada juga. Jelas benar yang lelaki ini seorang yang kurang bersenam. Baru berlari sikit sudah tak larat dan termengah-mengah.
Sambil menunggu lelaki itu mendekatinya, Izyan melakukan senaman ringan yang baik untuk pinggang dan pernafasan. Dia berhenti apabila Zahin sudah pun berdiri di sisi kiri. Segera dia tunduk mengambil sebotol air mineral lalu menghulurkannya kepada lelaki itu.
“Penat sangat ke?” soalnya.
Lelaki itu mengangguk. “Awak lari laju sangat. Tak terkejar saya!” ujar Zahin, masih dalam keadaan lelah.  
"Tak siapa suruh awak kejar saya pun," balas Izyan selamba. Dia mahu meneruskan aktiviti mingguannya yang asyik terganggu pagi ini. Selalunya, kalau sudah pukul tujuh pagi seperti sekarang, dia sudah siap melakukan dua larian ulang alik di sepanjang pantai. Bagaimanapun, kehadiran Zahin mengganggu rentak biasanya. Berkali-kali dia terpaksa berhenti kerana menunggu lelaki itu. Lari lagi, berhenti lagi. Bosan sungguh dia. Dan, apabila melihat tubuh yang sasa tetapi sudah pun lembik terdampar di atas pasir, dia mencebik.

KUPIKAT JANDAKU BAB 3

Bab 3



Lelaki itu sudah pun hilang daripada pandangan namun Izyan masih yakin bahawa dia pernah mendengar suara garau itu.
‘Kenapa suara dia orang macam sama sangat? Dah tu dari belakang pun ‘orang tu’ nampak macam dia. Takkanlah satu kebetulan pulak?’ hati bertanya.  
Saat itu pula pandangan Izyan terpaku ke satu arah. Di situ berdiri seorang lelaki dan seorang perempuan di tepi sebuah kereta mewah. Hatinya berdebar memandang apa yang sedang dilakukan oleh pasangan itu. Bagi orang lain mungkin itu pemandangan yang biasa, tiada apa-apa yang menarik. Namun bagi Izyan, apa yang dilihat itu amat istimewa. Ralit dia menyaksikan wanita yang anggun bergaya itu membetulkan tali leher yang dipakai oleh pasangannya.
Seluruh ingatannya berlari ke masa lalu hanya kerana melihat adegan itu. Bibir menyerlahkan senyuman apabila kejadian yang berlaku di Giant  itu kembali terlayar di pandangan. Kejadian yang bermula dengan dua patah perkataan. Tali dan leher. Tali leher...

KUPIKAT JANDAKU BAB 4

Bab 4



Suara garau itu masih terngiang-ngiang di telinga. Mungkin sebab itu dia menyangka lelaki tadi ialah orang yang sama. Nasib baik bukan, bisik hati yang kelegaan. Namun kenapa perasaan aneh ini muncul semula? Terasa bagai diri sedang diperhatikan. Terasa bagaikan ada sepasang mata sedang mengintainya. Yang mengundang debar dalam hati. Yang menyebabkan jantung berdenyut laju?
Ah sudah! Perasaan sebegini sudah lama hilang. Sudah tidak dirasai sejak tiga tahun dahulu. Satu rasa yang turut menyebabkan bulu roma naik meremang. Rasa yang hanya akan hadir seandainya...
Izyan mendongak. Mata melingas ke kiri dan kanan, mencari-cari dalam getaran hati yang kencang. Saat dia fikir yang dia hanya berilusi, waktu itulah pandangan matanya melekat pada seseorang.
Tidak jauh dari tempat dia berdiri, lelaki itu sedang tersenyum. Sepasang mata itu sedang memandangnya. Tepat dan tajam.

KUPIKAT JANDAKU BAB 5

Bab 5



Izyan teringin benar hendak melayangkan penumbuk ke muka Raif. Biar terhakis senyuman yang sedang terukir di bibir lelaki itu sekarang. Senyuman yang tidak langsung menunjukkan rasa bersalah setelah membuka rahsia yang selama ini Izyan simpan kemas.
“Awak tak pernah cerita pada saya pun,” marah Zahin sebaik sahaja dia menoleh memandang Izyan.
Izyan lontarkan keluhan. “Awak tak pernah tanya. Buat apa saya nak cerita?” dalihnya.
“Siapa awak, asal usul awak, sejarah awak... semua tu penting, Yan. Penting untuk saya tahu. Antara kita tak patut ada rahsia,” ujar Zahin. Keras.   
“Berapa lama dah kau orang berdua ni berkawan?”  
Izyan dan Zahin saling memandang mendengar soalan itu. Masing-masing kemudian mencari wajah Raif.

Blog Archive