Monday, December 15, 2014

Suami Sebelah Rumah Bab 5

Bab 5


Apakah aku terlalu memaksa? ~ Amar

LAJU sahaja ayat-ayat itu meluncur keluar dari bibirku. Kuucapkan dengan penuh yakin. Ikhlas dari lubuk hati paling dalam. Ketika aku menoleh ke arah Eryna, aku hampir hendak ketawa. Masakan tidak! Mulutnya melopong. Ternganga. Soalan dan permintaanku benar-benar telah membuat dia terkejut besar nampaknya.


“Saya serius. Benar-benar serius! Saya nak kahwin dengan awak, Erin!” ujarku penuh ketegasan.  
            Kali ini Eryna pandang aku macam hendak menelan. Dia terus jerit dengan kuat.
“Awak dah gila ke, Amar?”
            Aku segera menggeleng.
“Tak! Saya tak gila. Tadi, awak lamar saya...”
“Tapi, kan saya dah tarik balik? Kan saya dah bagi alasan kenapa kita tak perlu menikah?”
“Betul tu! Memang awak dah tarik balik sebelum sempat saya berikan kata putus. Jadi...”
Eryna pintas kata-kataku.
“Awak tak perlu cakap apa-apa sebab semua itu tadi ialah satu kesilapan.”
“Tak! Tak ada apa-apa yang silap. Sekarang, saya pula yang melamar awak. Giliran saya pula untuk menunggu jawapan daripada awak.” 
“Apasal awak ni? Tak faham bahasa ke?” marah Eryna. Dia kelihatan cukup tak puas hati. Nampaknya Eryna benar-benar marah kepadaku. Tapi, ada aku kisah?
“Awak tak jawab soalan saya lagi, Erin,” kataku.
Sedikit pun dia tidak peduli. Malah laju dia bertanya lagi.
“Awak ingat senang-senang aje seseorang tu nak menikah? Amar, awak kena jalani ujian HIV, tahu? Ujian kesihatan? Awak kena pastikan keadaan kesihatan awak tu tip-top! Awak...”
Laju kupintas kata-katanya kali ini.
“Erin, saya tahu tu! Saya kan doktor? FYI, laporan kesihatan saya ada dalam almari di ruang tamu kat rumah sebelah. Kalau awak nak tengok...”
“Tak! Tak payah! Saya tak perlu tengok laporan kesihatan awak tu!”
“Laa, kenapa tak nak tengok? Kan awak nak tahu sama ada saya ni sihat untuk jadi suami awak?”
Dia jegil aku.
“Bila masa saya cakap macam tu?”
Aku sengih tayang gigi.
“Saya tak perlukan laporan kesihatan awak dan saya tak perlukan awak. Sebab saya dah tak nak kahwin dengan awak.”
Suara Eryna melantun kuat.
“Tapi, saya nak! Saya nak kahwin dengan awak. Saya nak jadi suami awak, Erin,” balasku. Lembut!
Aku tahu Eryna sedang marah. Tapi aku tak peduli. Aku dekati dirinya untuk berbisik. Agar hanya dia yang mendengar kata-kataku.
“Erin, waktu ini, saya tak peduli pada perasaan saya. Saya pun tak nak ambil tahu perasaan awak. Bagi saya, maruah keluarga lebih penting. Awak tak kesian ke pada emak dan abah awak? Tak nampak ke awak betapa kecewanya mereka sekarang? Tengok muka mereka, Erin! Tengok betul-betul! Sanggup ke awak nak biarkan mereka dengan wajah sedih begitu?”
Dia tak sahut pula. Entah mengapa dia menundukkan wajah. Mungkin dia rasa bersalah agaknya?
Pak Wan menghampiriku. Bahuku dirangkulnya.
“Jangan kamu pedulikan budak Erin ni, Amar! Yang penting, kamu tanya hati kamu tu. Kamu sanggup atau tidak terima Erin jadi bini kamu?”
“Saya sanggup, Pak Wan!”
“Amar, awak tu berkursus pun tidak!” bentak Eryna.
Kata-kata yang mengundang senyum lebarku.
“Dah! Dah lama saya ada sijil, Erin. Entah-entah sijil saya tu lebih tua umurnya daripada sijil awak!” sindirku.
Rahang Eryna jatuh. Dia bagaikan sudah hilang kata. Tubuhnya kelihatan lesu. Ya, melihat dia, aku segera tahu bahawa sebenarnya Eryna sudah mengalah. Mengalah pada kehendak takdir.
Melihat dirinya begitu menyebabkan rasa kasihan singgah di dalam hatiku. Aku tertanya-tanya juga. Apakah aku terlalu memaksa? Apakah aku terlalu berkeras? Apakah  betul apa yang aku lakukan ini?
Tapi, memiliki Eryna adalah impianku sejak lama. Menjadikan Eryna isteriku adalah hasrat yang kupendam sejak aku mula mengenal erti cinta. Kini, peluang sudah di depan mata. Haruskah kubiarkan begitu sahaja?
Tidak! Aku tidak akan sesekali mengundur diri. Walau dia enggan, aku nekad meneruskan misi. Dia harus kunikahi. Tak boleh tidak!
Dan, aku harus meyakinkan dia bahawa akulah calon suami terbaik untuknya!
Saat ini entah bagaimana ketenangan itu hadir dalam hatiku. Aku sudah tidak keliru atau sedih lagi. Jadi, dengan penuh yakin aku berkata.
“Pak Wan, nikahkan saya dengan Erin. Saya sanggup!”
            “Alhamdulillah.”
Pak Wan terus membuka sampingnya, membentang samping itu di atas lantai dan seketika kemudian, dia sujud.
Ya! Pak Wan tunduk melakukan sujud syukur sebaik sahaja mendengar kata-kata persetujuanku. 
Di kiri kanan kami, semua orang sedang terpegun memerhati Pak Wan. Malah ada yang kelihatan terharu. Tak kurang juga mereka yang menyeka air mata dengan lengan baju masing-masing.
“Ya Allah, aku bersyukur kerana Engkau menghantar Amar untuk menyelamatkan maruah keluargaku. Tak ada apa lagi yang aku mahu selain melihat anak perempuanku dinikahkan dengan lelaki ini.”
            Sebak hatiku mendengar kata-kata Pak Wan itu. Suasana yang hening di sekitar kami turut memberi rasa yang sama kepada semua yang hadir agaknya. Terharu melihat kasih sayang seorang ayah. Aku dapat rasakan bahawa saat ini Pak Wan tidak sangat memikirkan maruahnya tetapi sebagai seorang ayah dia sedang memikirkan maruah anaknya yang sudah tercalar oleh perbuatan seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Kini, aku sedang melutut di hadapan Eryna. Tak kuhirau apa-apa pun lagi. Hanya pada dia kutumpukan perhatian ini.
“Erin, saya yakin yang selama ini awak tahu betapa saya cintakan awak. Beri saya peluang untuk membuktikannya.”
Eryna terpaku. Hanya ibu jari kaki terkuis-kuis menandakan dia sedang memberi perhatian.
“Erin, saya nak tanya awak sekali lagi. Sudi kahwin dengan saya? Sudi jadi isteri saya?”
Tiba-tiba suasana sekeliling kami menjadi riuh rendah. Tapi dapatlah juga kutangkap butir bicara suara-suara sumbang itu.
“Eryna, terima ajelah si Amar tu! Kamu nak lelaki yang macam mana lagi?” kata seorang.
“Eryna, kamu tak akan jumpa lelaki lain sebaik Amar ni, tahu!”
Wah, pujian yang buat aku rasa ‘kembang’.
“Eryna, cukuplah! Jangan buang masa menunggu jantan tak guna tu. Tak berbaloi!”
Aku setuju sangat dengan pendapat ini.
“Awak...”
Aku dongak. Dia merenung aku dalam pandangan sepasang mata yang berkaca. Oh, comelnya!
“Baiklah, saya setuju kahwin dengan awak.”
Akhirnya!
“Alhamdulillah!” ucapku dalam sebak.
Entah kenapa aku rasa macam nak menangis pula. Hailaa... Tolong jangan! Aku tak mahu leleh-leleh ni! Tak maco!
Aku bangun. Aduh, letih juga berlutut ni! Naik kebas kaki aku!
Tiba-tiba Pak Wan sudah berdiri di hadapanku. Menadah tangan berdoa. Melihatnya, aku turut sama menadah tanganku.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan! Amin!”
Pak Wan merenungku.
“Amar, insya-Allah, lepas kita solat asar nanti, Pak Wan sendiri yang akan nikahkan kamu dengan Erin,” ujarnya.
Yang best tu, semua orang tepuk tangan. Ya Allah, kiranya semua menyaksi kejadian ini dengan penuh harapan. Masakan aku biarkan harapan itu terkulai begitu sahaja, bukan?
“Pak Wan, boleh saya cakap sikit?” tanyaku.
Pak Wan angguk.
“Saya nak beli barang hantaran untuk Erin.”
“Hantaran?”
Mak Non yang diam menekur sedari tadi, bersuara.
“Ya, Mak Non. Saya dah tengok hantaran yang pihak sini sediakan untuk Azlan.”
“Kamu tak nak yang itu?”
Aku geleng. Takkanlah aku nak terima sesuatu yang bukan hak aku?
“Masa dah suntuk,” ujar bakal ibu mertuaku dalam resah.
“Tak payah beli banyak, long. Amar cari tiga barang aje untuk Erin ni. Cukup! Bukan susah. Beli telekung, kain sepasang dengan barang mekap. Untuk Amar, biar acu yang belikan. Kamu nak apa, Amar?”
Aku tarik nafas lega apabila Mak Su Zila sanggup membantuku.
“Terserah pada mak su.”
“Kamu relaks aje, Amar. Sebab kamu tu bakal pengantin, kamu duduk diam-diam di rumah. Jangan bimbang pasal apa-apa pun. Serahkan kepada mak su dengan pak ngah. Kami uruskan semuanya elok-elok nanti. Janji, barang untuk kamu dengan Erin, semua baru!”
“Tapi, itu kan membazir namanya?” bantah Eryna.
Hmm, ada mulut rupanya dia. Ingat lidahnya dah terseliuh sebab diam sahaja sedari tadi.
“Cik pengantin perempuan, kamu jangan menyampuk. Duduk diam-diam dan kira saja jumlah jam, minit dan saat untuk kamu jadi isteri Amar. Faham?”
Geli hatiku mendengar kata-kata mak su menyebabkan aku ketawa kecil. Namun ketawa itu terhenti melihat si dia yang sudah merah muka. Geram pada akulah tu!
Eh, eh... Eryna datang kepadaku. Dia nak apa pula ni?
“Suka, ya?”
Dia bertanya.
Aku hanya jongketkan kening.
“Tahu tak betapa menyesalnya saya sebab tanya awak tadi? Sungguh! Saya tak tahu kenapa saya tanya awak...”
“Itu bukan soalan. Itu lamaran, Erin!  Awak lamar saya dan saya terima.”
“Itulah masalahnya! Kenapa awak setuju? Kenapa tak tolak aje. Hah?”
            “Gila nak tolak? Yang meminang saya tadi tu ialah gadis pujaan saya, tahu! Gadis yang jadi idaman saya sejak lama. Takkan nak lepaskan pula?” balasku bersahaja.
Kali ini Eryna hilang kata. Hanya melopong memandangku. 
“Saya tahulah yang saya ni tak padan dengan awak. Saya tak handsome. Saya tak ada six-pack, saya tak kaya, saya tak...”
“Tak payah nak cipta ayat budak-budak macam tu, boleh tak?”
“Tapi, tentu sebab semua alasan itu yang menyebabkan awak tak mahu terima saya, kan?”
“Eloklah kalau awak sedar diri.”
“Dah lama sedar...”
“Dah, tak payah nak buat muka kesian kat saya.”
“Tapi, untuk pengetahuan awak, saya ada tiga ciri istimewa.”
Eryna mencebik. Tak percayalah tu!
Aku tak pedulikan dia. Terus aku senaraikan ciri-ciri istimewa itu.
“Pertama, saya bukan penakut. Kedua, saya tak sombong dan ketiga, saya tak kedekut. Kata Saidina Ali Ra: Kalau seorang perempuan kahwin dengan lelaki yang ada tiga ciri ni, perempuan tu dalam golongan mereka yang cerdik dan bertuah, tau!”
Aku lihat Eryna sembunyi senyum. Wow, terpesona hati ini! Tak dapat nak mengalih perhatian dari wajah ayunya itu.
“Tak tahu saya nak cakap apa lagi. Entah betul saya yang bertuah atau entah awak yang bodoh.”
“Kenapa awak cakap macam tu?”
Eryna pandang aku tepat-tepat. Lama! Dan...
“Sebab awak pilih saya walaupun ramai perempuan lain yang sanggup jadi isteri awak.”
Dia terus berlalu.
Aku jadi termangu.
Bodohkah aku?   

No comments :

Post a Comment

Blog Archive