Tuesday, December 16, 2014

Suami Sebelah Rumah Bab 4

Bab 4
Janganlah setuju dengan cadangan gila saya tu ~ Eryna

AKU sudah tidak dapat mengawal diri. Terasa bagaikan sebiji batu besar sedang menghempap aku. Tidak berdaya untuk aku melakukan apa pun. Otakku seakan-akan kosong. Langsung tidak berfungsi sebaik sahaja aku menerima satu pesanan ringkas daripada si dia tepat pada pukul 12.00 tengah hari. Setengah jam sebelum majlis akad nikah berlangsung. 


*Erin, maafkan abang. Abang tak dapat tunaikan janji kita. Abang tak dapat pergi ke sana. Emak abang tak restu. Kata emak, kalau abang pilih Erin, dia tak akan mengaku abang anak dia. Harta dia bukan milik abang lagi. Dia akan buang nama abang sebagai pewaris hartanya. Erin, abang tak sanggup! Jadi, abang sekarang ni hanya nak beritahu Erin yang abang mahu putuskan hubungan kita.*

Pesanan ringkas itu menyebabkan aku pengsan.
Pesanan ringkas itu menyebabkan aku jadi tolol, mengemukakan soalan yang kini sedang menyebabkan Amar jadi bingung. Sebenarnya, aku sendiri pun tidak tahu bagaimana aku boleh bertanya soalan ini kepadanya.

“Amar, sudi tak awak ambil saya jadi isteri awak? Kita kahwin. Boleh?”

Aku dah gila agaknya! Perbuatan Azlan meninggalkanku menyebabkan aku hilang akal. Sebab itu aku dengan muka tak malu, terus melamar lelaki itu.
Ah, Azlan... Kenapa kau buat aku begini? Kalau tak suka, cakaplah awal-awal! Dan... Emak dia tu? Kenapa baru sekarang nak mengugut Azlan? Kenapa tak berterus terang dari awal yang dia tak suka aku?
Soalan-soalan itu membawa ingatanku kembali ke suatu masa dahulu.
            Azlan pernah membawaku ke rumah keluarganya di Kuala Pilah. Aku diperkenalkan kepada ibu dan ayahnya. Juga kepada abang-abang dan kakak-kakaknya. Malah, Azlan melamarku di hadapan mereka. Kenapa pada waktu itu, tidak terdengar pun di telingaku, kata-kata benci? Kenapa mereka...
            Baru aku teringat. Ibunya diam sahaja ketika Azlan tunjukkan cincin yang disarungkannya di jari manisku. Selepas itu ibunya minta diri dan langsung ke bilik. Sehingga saat kami meninggalkan rumah, ibunya tidak turut menghantar kami.
            Oh, kenapalah aku bodoh sangat? Aku terlalu hanyut dalam kegembiraan sehingga aku tak fikir langsung penolakan dalam diam ibunya itu.
Argh... Bodohnya aku!
Patutlah aku kena marah dengan emak, dengan ayah! Malah adik-beradik emak dan ayah, bapa-bapa saudaraku dan Mak Su Zila membebel tak henti-henti. Memang salah aku! Aku yang buta mata hati dek kerana cintaku kepada Azlan!
Aku dihentak dari depan dan belakang. Dari kiri dan kananku. Aku tak mampu menepis. Tak mampu hendak membela diri! Tak mampu melawan!
            Menangisi nasib?
Orang yang selama ini berfikiran positif macam aku tidak akan menangis lama-lama.
Kesal?
Mestilah!
Kalau aku tahu begini sikap Azlan, tak hingin aku menerima lamarannya dulu. Malah tidak kumahu menerima sapaan cintanya.
Bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur. Aku bercinta dengan Azlan tetapi aku ditinggalkannya pada hari pernikahan kami. Nampak jelas bahawa aku dengan dia tidak berjodoh. Betullah kata-kata nasihat ini!
Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan.
Bercintalah macam nak rak sekalipun. Kalau kekasihmu bukan sang suami yang sudah lama tertulis namanya untuk kamu di loh mahfuz sana, maka jadilah macam kisah cinta aku ini! Kisah kahwin tak jadi.
Aku harus meneruskan hidup! Mesti! Aku tak boleh menangis. Tak boleh bersedih lagi!
Mengapa?
Jawapannya mudah sahaja!
Aku memilih untuk bahagia. Ya, aku ingin bahagia! Kalau bahagia itu bererti aku perlu bernikah dengan Amar, aku rela! Biarpun aku terpaksa menjadi isteri kepada doktor nerd  itu, tidak mengapa! Yang penting, aku tidak meratapi takdirku.
Yang sudah lepas, biarkanlah! Tak guna aku kenang lagi!
            Fikiran yang menerawang kembali kufokuskan kepada Amar. Dia kulihat sedang duduk bersila di atas lantai ruang tamu rumahku ini. Berteleku. Mungkin dia tidak menyangka yang aku sanggup bertanyakan soalan itu kepadanya tadi.
Waktu aku kerling ke sekitaran, aku rasa nak tergelak. Semua orang nampak terpegun. Cikgu Aminah malah emak aku sendiri dah ternganga mulut masing-masing. Hah, tentu mereka pun sama macam Amar. Terkejut mendengar soalan cepu gangsa yang tidak pernah aku sendiri pun menyangka akan meniti keluar dari bibirku ini.
Pandanganku kembali ke wajah Amar. Untuk seketika, kami saling memandang. Ketika itulah soalan yang sama kedengaran melantun keluar dari mulut ayahku pula.
“Amar, sudi ke kamu kahwin dengan anak perempuan Pak Wan yang bodoh ni?”
Buntang mataku. Rasa hiba pula. Sampai hati ayah cakap aku bodoh? Sedih tau!
“Err...”
Itu sahaja yang meniti keluar dari bibir Amar.
“Amar, sudi ke kamu menutup aib yang Pak Wan sedang tanggung ni?”
            Amar masih diam. Tak langsung bersuara.
Hesy, kenapa dengan Amar tu? Lidah dia dah kelu ke? Tergamam sangatkah dia sehingga hilang kata? Terpanar sehingga tidak mampu berfikir? Ataukah suasana hening dan keadaan sekeliling yang sunyi sepi turut menyebabkan rasa gentar hatinya?
Kuperhati ke sekeliling kami. Oh Tuhan! Rupa-rupanya aku dan Amar sedang menjadi perhatian semua orang! Dan, melihat raut wajah mereka yang seolah-olah mengharap akan sesuatu, aku tahu bahawa mereka sedang menanti jawapan Amar kepada soalanku.
Tiba-tiba...
“Amar, setuju sajalah!”
Seseorang menjerit. Nyaring suaranya! Kalau tak silap aku, itu suara Pak Cik Jamal yang rumahnya bertentang dengan rumah Amar.
“Amar, rezeki jangan ditolak!”
Giat seorang yang lain.
Aku mencebik.
“Amar, tuah datang bergolek depan kau. Jangan lepaskan!”
Dan suasana menjadi semakin riuh. Bukan itu saja, kini boleh dikatakan suasana sudah terlalu hingar. Masing-masing ingin bercakap. Ingin menyuarakan pendapat. Lama kelamaan, entah siapa yang mulakan, nama Amar dilaung-laung.
            “Amar! Amar! Amar!!!”
            Fuh! Semangat sungguh!
            Entah mengapa, aku jadi kesian pada Amar. Terasa seolah-olah dia sedang dipaksa untuk menerimaku. Seolah-olah dia sedang disuruh-suruh untuk menjadikan aku isterinya. Melihat wajahnya yang keliru, aku dihimpit kesalan. Kenapa harus dia menjadi mangsa dalam kemelut yang melanda keluargaku?
            Hampir sahaja aku melakukan satu lagi kesilapan!
            Dalam kalut dengan isu SMS Azlan, aku biarkan hati mengawal otakku. Kubiarkan fikiranku mendengar bisikan nafsu. Mudah benar aku mencari penyelesaian kepada masalah yang aku hadapi. Azlan tak datang, terus aku sambar Amar!
            Sekarang, dalam keadaan Amar yang teragak-agak, aku termalu sendiri. Rasa nak ambil sesuatu untuk menutup mukaku ini.
Ya, Allah, kenapakah perangaiku begini? Gatal sangat nak kahwin?
Aku terus pandang wajah Amar. Kali ini, aku harus membetulkan kesilapanku. Perlu menarik balik lamaranku tadi. Jangan nak jadi perigi yang mencari timba, okey! Tak boleh!
“Awak, saya minta maaf. Saya tak berfikir waktu saya lamar awak tadi. Saya tak patut jadikan awak kambing hitam. Jadi, janganlah setuju dengan cadangan gila saya tu. Lupakan apa yang saya sebut tadi,” ujarku dalam nada penuh ketegasan.
Wajah Amar sudah berubah riak. Agaknya dia sedang marahkan aku. Tak apalah. Kutadahkan telinga ini.
“Awak ni bersungguh atau main-main dengan saya, Erin?” tanya dia.
Soalan yang menyebabkan aku pula terkesima. Tak faham aku akan maksud soalannya itu.
            Amar sudah berdiri. Dia mendekatiku. Wajahnya yang amat serius sedikit sebanyak menggugat ketenanganku.
“Awak dengar dulu apa saya nak cakap,” pujukku.
“Shoot!”
Aku tarik nafas panjang-panjang. Dalam-dalam. Aku tatap wajahnya lalu memulakan bicaraku.
“Saya memang bodoh sebab percayakan Azlan, awak! Sebab itu selepas saya baca SMS dia, saya jatuh pengsan. Tapi, sekarang saya dah boleh terima kenyataan. Dah tak ada jodoh kami, nak buat macam mana? Saya reda!”
Amar mencebik sebaik sahaja dia mendengar aku sebut reda. Tak percayalah agaknya, kan?
            “Kamu ni kenapa, Erin?”
Ibuku pula mencelah. Marahkan akulah tu!
“Kejap, Mak Non! Biar Erin bercakap dulu.”
Amar menahan ibuku daripada terus bersuara.
“Amar, kamu jangan bagi muka pada dia. Jangan biarkan dia buat keputusan sendiri. Tengoklah tu! Sekejap cakap lain, sekejap lagi cakap yang lain pula! Nanti entah apa pula yang dia nak buat!” 
Amboi mak! Bukan main kuat suaranya marahkan aku. Sedih betul rasa hatiku ini. Nampak sangat yang emak tak percaya pada aku.
“Mak, Erin sayang emak dengan abah. Sayang sangat! Sebab itu, Erin nak minta maaf bila keadaan jadi kelam kabut macam ni. Minta maaf sebab emak dengan abah dapat malu disebabkan Erin. Ya, memang Erin mengaku yang Erin dah tersalah pilih. Tapi, Erin dah tak mahu menyusahkan sesiapa lagi. Terutama Amar, mak!”
Kuluahkan rasa hatiku agar emak mengerti. Agar semua orang mengerti! Aku tak mahu dikatakan mengambil kesempatan ke atas lelaki yang pernah memberitahu satu dunia bahawa dia mencintaiku sepenuh hatinya. Aku tidak akan memperalatkan cintanya kepadaku.
“Kenapa awak cakap yang awak dah menyusahkan saya?”
Amar bertanya. Wajahnya tegang memandangku.
Aku toleh pada Amar.
“Sebab saya ajak awak kahwin tadi tu la!”
“Saya okey aje. Langsung tak rasa yang lamaran awak tu menyusahkan saya, Erin.”
“Tapi awak diam. Lama awak diam. Tentu saya dah buat awak serba salah, kan?” tebakku.
Amar gelak.
“Awak tak tahu apa perasaan saya masa tu.”
Dahiku sudah berkerut. Tak faham aku dengan telatah doktor nerd ini. Tadi dia terpaku lama. Sekarang, baru dia hendak meluahkan apa yang dia rasa? Pelik betullah!
“Saya terkejut!”
Mata kami saling memandang.
“Saya terkejut sangat tadi bila saya dengar suara gadis yang saya puja, melamar saya. Dan-dan tu, saya jadi gugup. Tu yang terkunci lidah saya tu!”
Amar memberitahu seketika kemudian. Pandangan matanya yang tajam, menikam anak mataku. Renungan yang tak mampu aku lawan menyebabkan aku tundukkan wajah. Entah mengapa, tiba-tiba pula aku pula yang gementar. Tiba-tiba juga kurasakan panas pijar pipiku ini.
Hai la Amar... kenapa awak tengok saya macam tu? Awak buat saya malu, tahu tak?   
            Debaran di dalam hatiku ini menjadi semakin laju demi mendengar suara lantang abah yang tiba-tiba.
“Abah dah bulat hati sekarang. Kamu tak jadi kahwin dengan Azlan, tak apa! Tapi, abah nak kamu kahwin dengan Amar hari ini juga!”
            Ya, Allah! Abah aku ni tak habis lagi ke? Tak malu ke cakap macam tu? Macam nak jual anak saja! Macam nak jual aku kepada Amar. Bukan, bukan jual! Dah macam nak lelong pula! Isteri untuk dilelong! Hah, macam itulah yang aku nampak dan rasai sekarang. Alahai!
“Abah, janganlah paksa Amar lagi! Tadi, Erin dah buat silap. Entah kenapa Erin boleh pula tanya Amar soalan tu! Erin dah rasa malu sangat ni, tahu tak?”
“Kenapa malu?”
Aku pandang Amar. Boleh pula dia tanya soalan itu kepadaku?
“Sebab saya tak berfikir. Sebab saya ambil kesempatan. Sebab saya tahu awak suka saya dan saya terus gunakan awak. Saya tak patut buat macam tu, kan? Dah kena reject baru nampak awak. Tentu itu yang awak fikirkan tadi, betul tak?” ujarku dalam sebak. Memandang Amar dengan penuh perasaan segan dalam dada. Tapi kenapa dia kerutkan dahinya?
“Saya ingatkan awak betul-betul nak kahwin dengan saya,” katanya setelah agak lama berdiam diri. 
            Kenapa aku dapat rasa yang dia kecil hati dengan aku? Macam tak puas hati pun ada juga.
Tiba-tiba aku dengar suara abah yang seakan-akan mengalah. Lemah sangat!
            “Kenapa, Erin? Kenapa kamu cakap macam tu? Kamu tetap nak tunggu jantan tu ke? Nak terus mengharap pada dia? Apa kamu fikir dia akan berubah hati? Kamu ingat, si Azlan tu akan menyesal dan balik ke pangkuan kamu?”
“Abah...”
“Erin, kalau kamu tetap nak tunggu Abang Lan kamu tu, abah surrender! Abah tak mahu masuk campur urusan kamu lagi dah! Hidup mati kamu abah tak akan peduli langsung!”
“Abah!!!”
“Abah gembira bila kamu lamar Amar tadi. Abah ingat kamu betul-betul nak kahwin dengan dia. Tapi, rupa-rupanya, hati kamu tu berbolak-balik lagi. Masih berharap pada yang memang tak mahu kamu dah. Kamu betul-betul buat abah sedih, Erin! Sedih, tahu tak?”
            Kenapa abah aku ni? Abah merajuk dengan aku ke? Tapi, kenapa? Apa salahku?
Aku sudah tersilap kerana seakan-akan memaksa Amar dan kini, abah sedang mengatur langkah untuk keluar dari ruang tamu rumah kami. Ke mana dia hendak pergi?
            “Pak Wan! Tunggu!”
Suara Amar yang bergema kuat dalam kedamaian suasana, mengejutkan semua. Menyebabkan aku terus memandangnya. Menyebabkan ayah berhenti melangkah dan menoleh ke arah lelaki muda itu. Menanti entah apa yang ingin dikatakannya.
            “Pak Wan, saya nak minta izin Pak Wan dengan Mak Non untuk melamar Erin. Saya nak jadi suami dia. Tolong benarkan saya kahwin dengan Erin, ya?”
            Permintaan Amar itu menyebabkan aku ternganga!



No comments :

Post a Comment

Blog Archive