Sunday, December 14, 2014

Suami Sebelah Rumah Bab 7

Bab 7

Bertahun-tahun aku menunggu saat ini. ~ Amar

Aku tatap wajah yang berada pada cermin. Lama. Dengan gaya terpegun. Dengan gaya kagum. Dengan penuh rasa syukur juga. Wajah itu turut membalas renunganku. Mata aku kerdipkan beberapa kali. Manalah tahu kalau-kalau semua ini hanya ilusi. Tapi, wajah itu tetap ada di sebelah sana. Mahu tak mahu terpaksalah aku jerit panggil Sam. Dia kawan baik aku yang bertanggungjawab kepada perubahan mendadak ini.
Sam mendekatiku. Tengok cermin tepat-tepat macam hendak tembus lagaknya. Mulut dia laju bertanya. “Apa?”
Aku peluk bahu Sam. Paksa dia pandang cermin. “Cer kau tengok dalam cermin tu betul-betul. Aku ke tu?”
Sam gelak tunjuk gigi. Selamba dia balas. “Tak. Tu bukan kau. Tu ha nun ta wau.”
Ada pula. Memang sengaja cari pasal dengan akulah kalau itu jawapannya.
“Hantu kau. Ada ke kutuk aku macam tu? Hoi, Sam. Sejak bila ada hantu merayau-rayau di siang hari, hah? Tengok jam tu. Waktu asar pun belum masuk lagi, tahu tak?” marahku.    
Sam sudah mengekek waktu dia tinggalkan aku. Yalah, dia tengah sibuk tu. Kejap lagi, lepas asar, dialah yang aku harapkan untuk jadi ‘pak andam’ aku.
Aku kembali menghadap cermin. Kali ini aku ukir senyum menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipi kiri dan kanan. Tangan kubawa naik untuk mengusapi pipiku.
Handsome juga aku ni, kan?” ujarku.
Mungkin Sam dengar sebab tup-tup kepala aku dibalingnya dengan sesuatu. Mujur aku nampak benda itu melayang ke arahku lalu sempat kuelak. Kalau tidak? Benjollah kepala pengantin baru.
“Perasan,” omelnya.
Perasan? Sumpah, tidak. Selama ini aku tak pernah sedar. Bila aku amati semula, aku bagai melihat lelaki lain. Dahi yang agak luas, tapi tidak jendul, kening yang lebat, mata yang tajam dan hidung mancung itu memang sempurna. Bibir yang nipis itu tampak kemerah-merahan seolah-olah nak beritahu yang tuan punya wajah itu tidak merokok. Dulu, gaya rambut ala retro. Rambut dibelah tengah dan disapu dengan Brylcream supaya terletak elok di atas kulit kepala. Memang berminyak dan pasti tidak menggerbang, Tapi, fesyen nerd itu sudah tak ada. Sudah diganti dengan potongan ala-ala artis. Potongan terkini yang menjadikan wajah aku nampak ranggi.
Apa yang aku nampak itu betul-betul buat aku rasa hendak marah kepada diriku sendiri. Geleng kepala berkali-kali pun, rasa marah ini sudah bertapak keras dalam hati. Amar, ke mana kau menyorok selama ini? Baru sekarang kau nak muncul? Selepas umur kau cecah 29 tahun? Rugi. Rugi.
Nampaknya sudah tiba masa untuk aku matikan gelaran yang aku sandang sejak umur aku lapan tahun lagi. Gelaran yang diberi oleh si dia, kemudian menjadi sebutan ramai. Hmm, aku bukan nerd lagi, Erin. Kejap lagi kau tahulah.
            Di belakang aku, Sam sudah mengekek. Agaknya dia geli hati melihat gelagatku.
            “Aku rasalah kan, Amar… Kejap lagi terjojollah biji mata semua orang bila dia orang kat ruang tamu tu nampak kau,” kata dia sebaik tawanya reda.
Aku kerutkan dahi, tanda tak faham. “Kenapa pula biji mata dia orang nak terkeluar dari soket? Bukannya dia orang tak kenal aku.”
“Weh, percayalah cakap aku. Seorang pun tak akan perasan kau ni. Tak akan ada yang cam kau nanti. Termasuklah si Erin tu.” Sam masih kukuh dengan teorinya.
Lagilah aku nak tergelak. “Bro, aku dah duduk di taman ni sejak umur aku lapan tahun, tahu. Aku membesar di sini. Disunatkan pun kat sini juga. Mana mungkin pak cik, mak cik, adik, kakak dan abang-abang tu semua tak kenal aku?”
Rasa nak marah jugalah sebab Sam seolah-olah nak cakap aku ni tak popular. Dia lupa agaknya yang aku bukan jenis suka menyendiri. Aku sentiasa ada setiap kali jiran tetangga buat kenduri-kendara. Tak pernah miss. Aku ni jenis ringan tulanglah. Kalau tidak, tak mungkin ramai yang hendak buat menantu.
Aku kembali menyengih. “Tapi, Sam... Sebenarnya, aku pun rasa macam nak pengsan dah ni.”
            Sam tengok aku gaya tak puas hati. “Hai, aku penat kasi kau jadi maco macam ni, tahu. Yang tiba-tiba kau nak pengsan, apa hal? Buat malu aje.”
Dengar perkataan maco meniti keluar dari mulut Sam, aku rasa suka sangat. Sambil senyum aku tanya dia. “So, aku ni maco?”
Angguk.
Handsome? Tak macam dulu dah?”
“Tak.”
            “Aku dah boleh buang gelaran nerd tu?”
            Angguk lagi. Tapi, seketika lepas itu Sam bertanya, “Kau boleh nampak ke kalau tak pakai cermin mata kau yang tebal tu?”
            Aku gelak sambil angguk. “Aku dah buat pembedahan lasik. Dekat sebulan dah.”
            “Habis, cermin mata yang kau pakai tu?”
            “Saja aje. Rasa pelik pula kalau tak pakai. Lepas tu aku seganlah bila kau orang asyik tengok-tengok aku ni kan. Terutama Erin. Bila dia pandang aku masa aku tak pakai cermin mata, dia macam tengok alien.”
            “Mestilah dia pandang semacam. Kau nampak lain sangat. Mengancam.”
            Amboi, Sam, bukan main kipas. Macam nak jadi aku punya kipas susah mati pula.
“Oh ya, lasik tu tak sakit ke?” tanya Sam.
            “Lasik ni, Sam, ialah mengubah kelengkungan kornea. Prosedur pembedahannya tak lama tahu. Sepuluh minit saja. Tak perlu masuk hospital pun. Apa yang doktor buat ialah titiskan anestetik untuk mengebaskan mata. Then, doktor pakar bedah mata yang terlatih akan membentuk satu lapisan nipis kornea dipanggil flap dengan alat bernama microkeratome. Microkeratome ialah alat pembedahan mikro yang amat jitu, kau tahu. Selepas flap dibentuk, flap tu diketepikan. Lepas tu permukaan kelengkungan kornea diubah bentuk dengan sinaran laser excimer.”
Laser excimer? Bukan laser biasa aje?”
“Tak. Laser excimer lebih baik sebab laser excimer membentuk semula permukaan tisu tanpa ada kesan kerosakan haba atau parut kepada tisu-tisu sekeliling. Lapisan tisu kornea yang diubah bentuk ini, Sam, nipis sangat. Ketebalannya dalam lingkungan mikrometer aje.”
“Lepas tu?”
“Selepas sinaran laser tu, flap kornea yang masih terlekat dibawa ke kedudukan asalnya. Yang penting tak payah nak jahit-jahit semula.”
            “Aku rasa nak buat jugalah. Mesti aku pun akan nampak handsome nanti,” usik Sam.
            “Kau beruntung. Milah adores you. Aku ni...”
            Sam cantas. “Penampilan kau dah berubah. Tapi, kau kena ubah dalaman kau juga. Your self-esteem. Ya, tu yang kau kena pastikan, bro. Pastikan kau lebih yakin diri, Amar.”
“Alah, apa gunanya? Sejak dulu, dia anggap aku ni budak nerd. Sebab itu dia tak suka aku. Entah-entah lepas ni, semakin benci pula dia pada aku. Lagipun siapalah aku ni dalam hati dia, Sam?”
Sam tayang muka serius. “Cakap macam gitulah yang aku tak suka dengar,” katanya.
“Tapi, itu kenyataannya, Sam.”
“Habis, kau nak biarkan dia terus benci kau?”
Tentulah aku geleng. Tak mahulah aku Erin terus-terusan bencikan aku. Kami dah nak menikah tak lama lagi. Takkan nak biarkan dia dengan rasa benci itu?
“Amar, lepas nikah ni pastikan dia jatuh cinta pada kau.”
Aku ketawa. “Kau ingat jatuh cinta ni macam makan kacang? Masuk mulut, kunyah dan telan. Tak sampai seminit, selesai?”
“Memanglah tak mudah nak buat dia jatuh cinta pada kau, tapi kau kena berusahalah. Ingat, Amar. Allah dah bagi peluang pada kau ni. Doa kau untuk jadi suami dia, Allah dah makbulkan. Jadi, pastikan kau tak sia-siakan peluang ini. Faham?”
Wah, bukan main serius muka Sam masa dia menasihatkan aku ni. Betul-betul muka seorang pakar motivasi tak bertauliah. Tapi, aku rasa apa yang dia cakap itu betul juga. Allah dah bagi aku peluang ni. Aku kena gunakan peluang ini sebaik mungkin. Terima kasih kepada Pak Wan, bakal bapa mertua aku. Kalau Pak Wan tak tanya aku tadi, memang aku tak merasalah menikah dengan Erin, anak dia tu.
Erin, gadis yang dah lama memegang hati aku ni. Rasa-rasanya, sejak aku nampak muka dia kali pertama dulu. Waktu umur kami sama-sama lapan tahun. Cinta monyet? Puppy love? Whatever. Yang penting, setelah kami sah jadi suami isteri nanti, aku akan cuba miliki hati dia. Akan cuba, seperti kata Sam, buat dia jatuh cinta kepadaku.
Susah? Tentulah susah, wa cakap lu.
Pertama, kerana selama ini, dia berpura-pura tak nampak aku. Walaupun sejak umur kami lapan tahun, kami hidup berjiran. Walaupun sejak umur kami lapan tahun, kami bersekolah di sekolah yang sama malah belajar dalam kelas yang sama, membesar sama-sama. Hanya terpisah apabila aku ke UKM ambil jurusan perubatan dan dia di UTM ambil jurusan kejuruteraan.
Memang kuakui, banyak yang telah aku lakukan untuknya. Bagi aku, apa sahaja yang aku lakukan, semua demi dia. Aku tak sanggup melihat dia didenda oleh cikgu-cikgu kami. Aku tak suka dia dibuli oleh kawan-kawan kami. Kerana itu, aku sering didenda, disebabkan dia. Aku sering dibuli, kerana dia. Aku tak kisah. Aku tak peduli. Yang penting, aku ada untuknya.
Kedua, tentu dia masih cintakan lelaki itu. Biasalah, perempuan. Lelaki itu cinta pertamanya. Lelaki itu segala-gala bagi dia. Walaupun lelaki itu sudah menghancurkan hati dia, lumat. Aku rasa sukar untuk dia melupakannya.
Ketiga, aku dipilih oleh ayahnya sekadar untuk menutup aib keluarga mereka yang dah dimalukan oleh pihak lelaki. Habis, kalau pihak lelaki tak sampai-sampai pada hari nikah, siapa yang tak sedih? Siapa yang tidak berasa malu? Jadi, aku ni macam kambing hitamlah. Cuba menyelamatkan maruah keluarga Erin.
Tapi, aku tak kisah. Ini memang impianku. Ini memang harapan aku. Tak lama lagi aku akan jadi suami Erin. Allah dah perkenankan doaku selama ini. Jadi, aku akan panjatkan rasa syukurku kepada-Nya. Dia yang Pengasih dan Penyayang. Dia yang Pemurah.
Bertahun-tahun aku menunggu saat ini. Bertahun-tahun aku menanti. Akhirnya ia akan menjadi kenyataan tak lama lagi.
Insya-Allah, selepas menjadi suaminya, aku akan ke misi kedua. Matlamat terpenting aku sekarang adalah untuk berusaha memenangi hati Erin. Pastinya akan kucuba bermati-matian sehinggalah hatinya itu berjaya kumiliki nanti.
“Peluang tak datang berkali-kali, Amar. Jadi manfaatkanlah.”
Aku angguk. Entah mengapa, kini aku rasakan diriku jadi lebih bersemangat. Aku rasakan aku jadi lebih bertenaga.
            “Nanti kau kena tanya dia kenapa dia lamar kau.” Kata-kata Sam buat aku termangu.
“Apasal muka macam tepung gomak tu? Amar, tadi, dia yang lamar kau lebih dulu daripada ayahnya. Tentu ada sebab kenapa dia buat macam tu, kan? Perempuan ego macam dia tiba-tiba ajak kau kahwin... Apa motifnya?”
“Dia terdesak. Itu ajelah. Jangan nak fikir yang bukan-bukan pula,” marahku.
“Sebab terdesaklah aku nak kau berhati-hati. Jangan nanti...”
“Kau nak cakap apa ni, Sam?” Aku dah mula marah.
“Kau tu doktor. Educated. Tentu kau faham apa maksud aku, Amar.”
Ya, memang aku faham. Memang aku pun ada terfikir. Tapi, aku tak mahu percaya. Ini semua hanya andaian. Spekulasi. Aku tidak mahu terpengaruh dengannya. Kenapa? Kerana aku yakin pada gerak hatiku ini.
Tiba-tiba, ada ketukan di luar pintu bilik yang tertutup sejak sejam yang lepas.
“Orang yang di dalam tu dah siap ke? Pak imam, tok kadi, malah semua orang lelaki sudah berkumpul di masjid. Waktu asar dah nak masuk ni. Pergilah cepat. Nanti hilang pula pahala solat berjemaah.”
            Sam pandang aku, aku tengok Sam. Aku tahu dia nampak perubahan pada wajahku. Biasalah. Pengantin mana yang tidak menggelabah?
“Relaks. Kita solat dulu. Moga-moga, tangan-tangan yang berdoa untuk kau nanti menjadikan majlis nikah kau orang berdua diberkati Allah.”
Aku tadah tangan. “Amin. Amin ya rabbal alamin.”
“Lepas solat terus ke rumah Eryna, ya?” tanya Sam.
Aku angguk.
“Lepas tu terus akad nikah?”
Aku angguk lagi.
“Lepas tu...”
“Boleh diam, tak? Daripada kau bawa fikiran kau yang tak berapa suci tu memikir tentang aku dengan dia, baik kau baca salawat,” sindirku lalu meninggalkan Sam terkulat-kulat sendirian.

Macam-macam dia nak tanya pada aku. Dia tak tahu ke yang hati aku sekarang ni dah macam kena palu? Dug-dag, dug-dag. Fuh...

No comments :

Post a Comment

Blog Archive