Friday, December 19, 2014

Suami Sebelah Rumah Bab 1

Bab 1
Aku rela melupakanmu. ~ Amar


NAMAKU Amar. Amar bin Mohd Amin. Umurku 29 tahun. Aku seorang doktor yang bertugas di Hospital Putrajaya. Sekarang ni aku sedang dalam perjalanan pulang ke kampung. Bertolak kira-kira pukul 6.00 petang tadi, kini aku singgah sebentar untuk solat jamak takdim di sebuah masjid yang terletak di tepi jalan berhampiran pekan Sungai Haji Dorani. Nanti tidaklah aku perlu solat isyak di rumah kerana aku sudah menghimpunnya pada waktu maghrib ini.
Insya-Allah, sebentar sahaja lagi akan sampailah aku ke rumah keluargaku. Bukan lama mana pun masa yang diambil untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan. Tambah-tambah lagi kalau menaiki motosikal Kawasaki Ninja berwarna merah, Ninja kesayangan aku ini. Dalam tempoh dua jam lebih sedikit, dah sampai. 

Sebenarnya, kali ini, aku berat hati hendak balik. Aku tak mahu sebenarnya. Tapi, apakan daya, ibu dan ayah memaksa. Kisah dua minggu yang lepas ketika aku balik sempena cuti Maal Hijrah mengusik ingatan. 

“KAMU mesti balik, Amar. Tak boleh tidak.” Suara ayah memecah keheningan malam. Mengejutkan aku yang sedang asyik menonton rancangan televisyen kegemaranku, The Amazing Race. 

“Saya tak naklah, ayah. Saya banyak kerja kat hospital tu.” Aku berdalih. 

“Ayah tak peduli. Ayah suruh kamu balik, kamu mesti balik. Jangan degil sangat.” 

Haila nasib. Pada usia begini pun aku masih kena jerkah lagi.

“Amar, baliklah ya. Nanti apa pula kata Mak Non.” Ibu cuba memujukku.

“Saya tak dapatlah, bu. Saya memang betul-betul sibuk.” Aku terus mengelak lagi. 

Ibu jegil mata dia kepada aku. “Amar, kita ni jiran sebelah rumah Mak Non kamu. Tak ke pelik bila orang tengok kamu tak ada masa kenduri tu nanti? Apa ibu nak jawab kalau ada yang bertanya tentang kamu?”

Suara ibu dah naik oktaf. Matanya pula tajam merenungku. Marahkan akulah tu. Aku pula tak tahu nak jawab apa. Takkan nak suruh ibu berbohong kut? Nak kena luku kepala dengan ibu, bolehlah.

“Kalau kamu tak balik, tentu Mak Non kamu merajuk. Dahlah hasrat dia nak buat kamu menantu tak kesampaian. Kamu pula bawa diri, tak mahu meraikan majlis si Erin tu sama-sama...”

Aku segera mencelah. “Bukan macam tu.”

“Bukan apa?”

“Saya bukan nak bawa dirilah, bu. Hal saya dengan Erin... dah lama saya reda. Saya terima dengan ikhlas keputusan dia. Biarlah dia dengan pilihannya. Saya okey.”

“Kalau betul kamu reda, kalau betul kamu ikhlas menerima keputusan Erin, baliklah. Buktikan yang kamu dah lepaskan dia daripada hati kamu tu.”

ENJIN motosikal aku matikan. Ninja kesayangan kutolak ke tepi dan kukunci. Topi keledar aku buka dan simpan di dalam peti. Rambut yang sedikit kusut kuleraikan dengan jemari kasarku. Mata memandang deretan kanopi yang didirikan di hadapan dua buah rumah. Rumah keluargaku dan rumah jiran kami, rumah keluarga Erin. Wah, nampaknya memang Pak Wan buat kenduri besar sekali ini. Orang nak menyambut menantu sulunglah, katakan.

“Weh, baru sampai ke?” 

Aku kenal benar dengan tuan punya suara itu. Aku toleh ke arahnya. Tersengih lalu mengangguk. 

“Kau langkah kanan, bro. Kita orang baru nak makan. Jom makan dengan aku,” ajak Sam. Sam, kawan baik aku dari sekolah rendah lagi. Memang kami kamcing sangat. Dari dulu sampai sekarang, setiap kali aku balik ke Taman Seri Setia, memang tak sah kalau tak lepak-lepak dengan dia. 

Aku tak menyahut. Sebaliknya mataku sibuk melingas, mencari seseorang. Manalah tahu kalau-kalau dia ada dalam khalayak yang sedang enak menjamu selera itu, kan? Malang bagiku, kelibat si dia langsung tidak kelihatan. 

“Kau cari Eryna, ya?”

“Mana ada. Aku cari ibu, okey,” nafiku. 

Sam gelak besar mendengar jawapanku. Nampak sangat yang dia tidak percaya pada kata-kataku. “Eryna kat atas. Tengah bersiap agaknya. Kejap lagi kan nak buat acara berinai kecil?” Dia memberitahu.

“Ya ke?”

“Ya. Dan, kalau kau nak tengok dia, jomlah main kompang sekali dengan kita orang. Tiket first class, kat depan sekali. Bolehlah kau tatap muka dia puas-puas malam ni sebelum dia jadi hak milik orang lain.”

Aku tumbuk bahu Sam. Pandai saja dia hendak perhangat hati aku ini. 

“Tak kuasa aku nak ikut kau. Daripada main kompang tu, lebih baik aku tidur. Sihat tubuh badan,” balasku. 

Sam gelak. “Boleh lena ke? Dengan bunyi bising, dengan fikirkan dara impian yang bakal jadi bini orang tu. Eleh, macam aku tak tahu yang kau nak menyendiri, bro,” usiknya. 

“Malas aku nak layan kau, Sam. Nanti hati aku juga yang sakit. Jadi, disebabkan perut aku pun dah berkeriut, lebih baik aku cari ibu. Dah lapar sangat ni,” balasku. Aku tinggalkan Sam di situ. Langkah kuatur kemas untuk pergi mendapatkan ibu. Hmm, itu pun dia. Ibu sedang berbual-bual dengan beberapa orang wanita sebaya dia. Biasalah, perempuan. Ada saja yang hendak disembangkan. 

“Balik juga kamu, Amar?” tegur ibu yang tajam memerhati pergerakanku. 

Aku tersenyum mendengar soalan ibu ketika aku raih tangannya lalu kukucup. “Mestilah saya balik. Tak sanggup nak lepaskan nasi minyak dan lauk-pauk yang Pak Nan masak. Rugi,” balasku. Pak Nan yang aku puji sudah tergelak besar di hujung meja. 

Ibu nampak tak apa yang cuba aku tunjukkan? Apa yang cuba aku buktikan? Bahawa kepulanganku ini kerana aku ingin menyahut cabarannya? Ya, aku balik untuk membuktikan kepada ibu bahawa aku ikhlas melepaskan Erin. Juga supaya ibu percaya betapa aku ikhlas menerima keputusan Erin memilih Azlan dan bukannya aku. 

“Dah makan belum?” Soalan ibu mengejutkan aku. Kiranya, sudah jauh aku mengelamun. Haih. 

Aku perhati ke sekelilingku. Ketika pandanganku jatuh kepada seseorang, aku terus melangkah ke arahnya. Sempat lagi aku jerit kepada ibu. “Saya makan dengan pak ngah.”

Mendengar suaraku, pak ngah segera menarik kerusi di sebelahnya. Tanda dia mahu aku duduk di situ. 

Aku capai pinggan kosong yang dihulurkan oleh seseorang kepadaku. Aku masukkan sedikit nasi beserta lauk-pauk yang ada. Dengan lafaz Basmallah, laju aku menyuap ke dalam mulut. Lapar, beb. Sejak tengah hari tadi lagi, tak sebutir nasi pun masuk ke dalam perut aku ini.

“Bila sampai?”

“Baru aje,” sahutku. 

Pak Ngah Musa ialah adik Pak Wan, bapa saudara Erin. Aku agak rapat dengan dia sebab waktu dia belum kahwin dulu, dia tinggal di sini. Jadi, ke mana saja dia pergi, dia suka bawa aku membonceng motosikalnya. Mungkin kerana anak saudaranya semua perempuan, jadi dia memilih aku, anak lelaki jirannya untuk mengikut dia ke mana sahaja dia pergi. Memancing, tengok wayang, ke masjid... ke mana sajalah. Tapi, selepas dia kahwin dengan mak ngah, kami dah jarang jumpa kerana pak ngah dihantar bertugas ke Kuching dan dia hanya balik ke mari setahun sekali. 

“Kamu okey?” Perlahan saja suara pak ngah kali ini. Dia tak mahu orang lain dengar perbualan kami gamaknya. 

Laju aku mengangguk. 

“Semua orang kesiankan kamu, Amar.” 

Aku tarik sengih. “Kesian? Pada saya? Kenapa?” Satu, satu, soalan aku tanya. Macamlah aku tak tahu.

“Sebab seluruh penduduk Taman Seri Setia ni tahu isi hati kamu pada Erin, Amar. Semua orang tahu yang kamu cintakan sangat budak tu. Tentulah kami tumpang sedih bila hajat kamu nak ambil dia jadi isteri tak kesampaian.” Beria-ia betul pak ngah bercakap. Seolah-olah dia menjadi wakil persatuan penduduk taman ini. 

Aku tarik nafas panjang. Teringat kepada kemarahan Erin satu masa dulu, saat dia menolak lamaranku. 

“Amar, saya tak pernah sukakan awak. Bagi saya, awak ni hanya jiran sebelah rumah aje. Sebab itu saya tak faham kenapa awak hantar rombongan meminang saya. Awak, cukuplah ibu bapa kita saja yang berkawan baik. Takkan kita pun nak ikut jejak langkah dia orang? Eee, apa kelas kahwin dengan jiran sebelah rumah? Nanti, keturunan saya tak berkembang. Asyik-asyik Taman Seri Setia. Asyik-asyik Teluk Intan. Yeark.”

Aku akur. Yalah, dah orang tak suka, nak buat macam mana? Cinta bukan boleh dipaksa-paksa. 

Ketika ibu berkisah tentang majlis pertunangan Erin dengan lelaki dari negeri Adat Pepatih itu, tak tahu nak cerita betapa kecewa hati ini. Rasa macam dah patah seribu. Terutama apabila semua orang heboh gembar-gemburkan tentang wang hantaran sebanyak RM33,000. Aduh, kecoh. Ramailah juga yang mencemik ke arahku. Seolah-olah bertanya, “Kau ada?”

“Banyakkan bersabar, Amar. Doakan semoga Erin bahagia,” pesan pak ngah kepadaku. 

“Insya-Allah,” sahutku penuh yakin. 

Lama pak ngah merenungiku tanpa suara. Bagaikan sedang memikirkan sesuatu yang bernas untuk dibicarakannya. Dan, memang benar telahanku. Kata-kata yang meniti bibirnya selepas itu benar-benar menyejukkan nuraniku ini. “Dalam satu hadis, Amar, Nabi SAW ada menyebut... Apabila salah seorang mendoakan saudaranya (sesama Muslim) tanpa diketahui oleh yang didoakan, maka para malaikat berkata amin dan semoga engkau memperoleh pula sebagaimana yang engkau doakan itu. Jadi, insya-Allah, apabila kamu doakan Erin tanpa dia tahu, malaikat akan mendoakan kamu pula.”

Aku tahu hadis itu. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Hadis yang mengingatkan aku pada satu kisah yang selalu ibu ceritakan sewaktu aku kecil dulu. Kisah perbualan antara Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah SAW dengan puteranya, Hasan bin Ali. Hasan yang sering kali mendengar munajat bondanya di sepertiga malam. 

Suatu pagi, ketika Fatimah selesai berdoa, Hasan bertanya... Ya, ummi, dari tadi aku mendengar doamu, tetapi tak satu pun doa yang kau panjatkan untuk dirimu sendiri? Fatimah menjawab dengan lembut. Nak, doakan dulu tetanggamu kerana ketika para malaikat mendengar kamu mendoakan tetanggamu, maka malaikat akan mendoakanmu. Adakah yang lebih baik daripada doa para malaikat yang dekat dengan Allah, Tuhan kita?

Aku genggam tangan lelaki yang sangat-sangat aku hormati ini. Rautnya yang suram kupandang sambil kucuba menguntum senyum seikhlas mungkin. “Terima kasih, pak ngah. Terima kasih kerana ingatkan saya tentang hadis ini,” kataku. 

Pak ngah mengangguk. Lama dia merenungku sebelum membalas. “Insya-Allah, walaupun jodoh kamu bukan dengan Erin, pada kami semua... kamu dah jadi macam keluarga kami. Kamu tu dah macam anak aku, Amar! Aku sayang sangat pada kamu. Tentang Erin tu, kamu doakan dia saja. Boleh?” 

Aku hanya mampu mengangguk dalam rasa terharu. Tidak terluah rahsia hati. Tidak terucap kata. Tapi, percayalah! Doaku sentiasa mengiringi Erin. Biarpun dia pernah mengecilkan hatiku dengan penolakannya. Biarpun aku tidak pernah berjaya menjentik hatinya. Aku tidak akan pernah jemu mendoakannya.

Ibu menggamitku, mengajak aku masuk ke dalam rumah. Lega rasanya. Bolehlah aku berbaring untuk meluruskan pinggang aku ini nanti. Selepas aku minta diri dengan pak ngah dan beberapa orang lagi yang aku kenal, aku menurut langkah ibu. Bagaimanapun, belum sempat nak tarik kusyen kecil yang ibu jadikan hiasan di atas sofa untuk melapik kepalaku, ibu dah buka cerita. 

“Mak Non kamu asyik terperap dalam bilik. Tak pun, dia duduk di dapur tak bangun-bangun. Mogok.”

Dahiku sudah berkerut. “Mogok? Pasal apa?” tanyaku. 

“Dia risau. Takut Erin jadi kahwin.”

Buntang mataku tengok muka ibu yang selamba. Haih. Kalau Erin dengar, mengamuk dia. 

“Kenapa macam tu? Orang risau kalau majlis tak jadi. Yang Mak Non ni terbalik pula? Apa hal?” marahku. 

“Entahlah. Dia kata, dia cuma mahu kamu jadi suami Erin. Bukan si Azlan tu,” sahut ibu. 

“Tak baik Mak Non cakap macam tu. Saya dengan Erin tak ada jodoh. Terimalah hakikat.” Aku dah mula nak naik darah. Kalau aku yang kena reject ini mampu menerima keputusan Erin dengan baik, kenapa Mak Non tak boleh? 

“Kata Mak Non kamu, selagi si Azlan tu belum jabat tangan tok kadi, dia masih nak berharap pada kamu juga.”

Aku hanya mampu menggeleng. “Mustahil,” gumamku.

“Apa yang mustahil? Kamu jangan lupa, doa seorang ibu tak ada hijab dengan Allah, tahu.”

“Memanglah doa seorang ibu tak ada hijab dengan Allah. Tapi, tolonglah bu. Tolong nasihatkan Mak Non. Cakap pada dia, tak baik dia punahkan hasrat orang. Suruh dia doakan perkara yang elok-elok untuk Erin. Suruh dia terima siapa juga yang Erin dah pilih. Tak payah nak mogok-mogok sangatlah.” Aku rimas betul dengan perbualan begini. Dah naik jelak. 

Bukan tak kasihan kepada Mak Non. Malah, aku bersyukur sangat kerana dia sayangkan aku. Dia anggap aku macam anak dia sendiri. Tapi, dia kena faham. Kalau dia saja yang suka giler kat aku, tapi anak dia tidak, malah si Erin tu langsung tak suka aku, buat apa? Tuan badan sendiri tak boleh terima diri aku ini, ada erti?

“Sekejap aje Mak Non tu. Nanti dah dapat menantu, dia lupalah pada saya ni,” ujarku menutup perbualan. Sengaja aku pejamkan mata. Tapi, tiba-tiba teringat pula yang aku belum solat isyak. Bergegas aku bangun. 

“Kenapa tu?” tanya ibu. 

“Saya belum solat isyak lagi, bu.”

“Biar betul. Tadi tak buat solat jamak ke?” 

Aku pandang wajah ibu. Lama. Kemudian aku tepuk dahi. Nampaknya, aku pun dah jadi pelupa. Dah solat tapi kata belum. Alahai...

“Awak tu muda, okey. Jangan duk buat nyanyuk macam ni lagi. Ibu tak suka,” marah ibu sambil menunjal dahiku. 

Aku hanya ketawa. Kemarahan ibu tak bersisa kepadaku. 

“Kamu kata, kamu dah lupakan si Erin tu. Tapi, ibu rasa tidak. Mungkin kamu masih sayangkan dia. Kalau tidak, masakan sampai kamu tak ingat sama ada kamu dah solat atau belum. Kesian anak ibu! Entah apalah agaknya yang ada dalam hati kamu tu sekarang, kan?” 

Erk? Bagaimana ibu dapat meneka resah hatiku ini? 



HARI ini, hari besar Erin. Hari bahagia untuknya. Aku? Hatiku berdebar tidak menentu. Biarpun bibir melafazkan aku rela melepaskanmu, nampaknya hati tetap cemas menghadapi kehilangan. Tetap juga aku keresahan. 

“Woit, menung apa?” Sam menjerkah sambil menyiku pinggang aku. 

“Kau memang macam ni, kan? Tangan kau tu mesti nak cederakan aku,” marahku yang terasa senak akibat perbuatannya tadi. 

“Habis, dah kau asyik termenung sana, termenung sini, terpaksalah aku sikukan pinggang kau tu. Sakit sangat ke?” sindir Sam. 

“Meh sini. Biar aku pula buat pada kau.”

Sam dah gelak. “Sebab itu Eryna panggil kau nerd. Nak buat aku konon. Aku karate karang, masuk parit.” 

Baru nak balas balik, terasa bahuku ditepuk oleh seseorang. Segera aku menoleh. 

“Pak Wan?” Itu sahaja yang mampu aku sebut. Tergamamlah juga apabila bapa-mertua-tak-jadi aku yang tepuk bahu aku tadi. Cemas pula rasanya. 

“Aku nak minta tolong pada kamu sikit. Boleh?” tanya dia. 

Aku segera mengangguk. 

“Kamu pergi cari Mak Non kamu kat dalam rumah tu. Kamu tolong pujuk dia supaya bersiap dan datang ke sini. Apa ke halnya nanti bila tetamu datang tapi tuan rumah duk lancar mogok kat dalam?”

“Mogok? Mak Non betul-betul mogok, Pak Wan?” tanyaku dalam resah. Kerana akukah Mak Non jadi senekad itu?

“Sebab itu aku minta tolong pada kamu, Amar. Tolong pujuk Mak Non kamu. Cakap kamu aje yang dia dengar,” balas Pak Wan. 

Aku rasa Pak Wan pun dah naik risau dengan perangai bini dia. Haila, Mak Non. Kasihan betul aku dengan dia. Hampa sangat dia dengan keputusan yang Erin dah buat. Kecewa benar kerana Erin enggan mengikut kehendaknya. Tapi, aku tetap ada rasa nak marah kepadanya. Dia lupa kut yang jodoh pertemuan semua terletak di tangan Tuhan? Lupa pada qadak dan qadar? Memang nak kena tazkirah dengan Ustaz Doktor Amar Mak Non ni. 

Aku capai tangan Pak Wan. Aku pegang erat. Cuba menyampaikan semangatku kepadanya. “Baik, Pak Wan. Pak Wan jangan susah hati sangat. Sekarang juga saya cari Mak Non. Saya nak bagi tazkirah pada dia.”

Nampaknya lawakku menjadi. Pak Wan dah tersengih lebar. Alhamdulillah. 

Aku tinggalkan Pak Wan lalu melangkah menuju ke pintu depan rumah jiran sebelahku yang bernama Erin itu. Aku masuk ke dalam ruang tamu yang lengang. Pelik betul. Sunyi sepi pula di sini. Apa hal? Mungkinkah semua orang sudah pergi makan di luar? Sebab tadi memang Pak Wan dah arahkan mereka yang membantu supaya makan dulu. Kebajikan jiran tetangga yang sudah bertungkus lumus ini haruslah dijaga. Biarlah mereka makan lebih awal daripada tetamu, baharulah jalan semua kerja nanti. 

Tiba-tiba aku terpandang ke arah tingkap. Seseorang sedang terkial-kial hendak memasukkan rod aluminium melalui ring eyelet langsir yang sudah jatuh. Lepas siap di situ, kesian pula aku tengok dia terjengket-jengket hendak meletakkan kembali rod aluminium ke tempatnya. Timbul keinginan untuk membantu gadis itu. 

Aku berdeham. Sebaik sahaja dia menoleh, kurasakan hatiku gugur saat itu juga. Alahai... Mengapa dia? Orang yang cuba aku elak daripada bertembung, dialah juga yang sedang berada di hadapanku saat ini. Aisey. Malang betul nasib aku. Aku telan liur, tarik nafas panjang-panjang dan lepas, sebelum suara kulontarkan. 

“Biar saya tolong sangkutkan. Awak tu pengantin. Kalau jatuh dan terseliuh kaki tu, tak bersanding pula nanti.”

No comments :

Post a Comment

Blog Archive