Sunday, December 14, 2014

Suami Sebelah Rumah Bab 6

Bab 6

Harapanku kini ialah Amar. ~ Eryna

KAK LIN tengok aku atas bawah. Sekejap-sekejap tangannya membelek tudung yang kupakai. Sekejap lagi dia membelek kerongsang pula. Ada sahaja yang dia tak puas hati dengan hasil kerja seninya pada diriku ini.
“Tak payah duk belek sangatlah, Kak Lin. Orang memang dah nampak cantik ni,” ujarku yang rimas dengan perbuatannya tadi.
“A’ah, kamu memang cantik. Pipi pun gebu aje. Cuma mulut kamu tu aje yang laser sikit, cakap ikut suka hati kamu, kan?” Kak Lin mengutukku.
“Mana ada?” nafiku. Sesedap rasa hati dia sahaja cakap aku ni mulut jahat. Hesy!
“Tak ada? Macamlah kita orang semua tak dengar apa yang berlaku di bawah tadi, kan?” perli Kak Lin lagi.
Kak Lin nak ungkit balik semua cakap-cakap aku dengan Amar tadi ke?
“Itu pun kamu bernasib baik sebab abah kamu cukup sabar tadi. Katalah dia nak lepas geram, apa jadi? Tentu pipi kamu dah bengkak sebelah, Erin. Entah-entah, gigi kamu yang tersusun cantik sekarang ni dah bersepai. Baru padan muka kamu dapat gelaran pengantin rongak.”
            Dalam hati aku duk bercelaru ini pun, Kak Lin masih hendak buat lawak juga. Agaknya orang yang kuat menyakat macam Kak Lin memang pandai menceriakan orang lain. Pandai saja dia buat aku gelak. Mungkin kalau keluarga Azlan ada di hadapanku sekarang, mereka pun terkejut tengok aku yang sedang mengekek dek usikan dan lawak bodoh Kak Lin itu.     
“Nah, makan sirih ni.”
“Buat apa?”
“Hilangkan rasa gemuruh dalam diri kamu tu. Kak Lin dah jampi tadi.”
“Tak naklah. Ada pula nak makan sirih segala? Karang kalau gigi orang merah, apa nak jawab bila Amar tanya?” Aku memprotes.
Laju saja tangan Kak Lin meluku kepalaku.
“Sebab itu akak suruh kamu kunyah sirih tu sekarang. Dah habis kamu telan semua sirih tu nanti, bolehlah pergi gosok gigi tu. Faham?” tengkingnya.
“Orang tak nak. Entah jampi serapah apa yang... Adoi... Kak Lin...” Mahu aku tak terjerit? Kak Lin cubit aku. Sakit lengan aku dibuatnya.
“Mulut tu jaga sikit. Jangan celopar sangat. Akak baca surah al-Fatihah dengan empat Qul saja. Dah, jangan banyak songeh. Buka mulut.”
Dengan perasaan sebal, terpaksalah aku patuh arahan. Perkara yang tak pernah aku buat, sekarang aku lakukan. Rasa payau lidahku. Tapi, nak buat macam mana? Aku yang menurut perintah, kan? Ya, aku harus sedar diri. Aku bukan lagi raja sehari untuk hari ini. Aku hanya seorang Eryna yang harus patuh pada janji yang telah kubuat. Janji untuk memuaskan hati abah dan mak. Janji untuk mematuhi kehendak mereka.
“Kamu mesti lupakan Azlan. Tak ada gunanya kamu nak ingat dia lagi. Keluar air mata darah sekalipun, jantan tu tak akan datang ke sini. Dia dah lepaskan kamu, jadi kamu juga mesti lepaskan dia daripada hati kamu tu. Faham?”
“Orang tak ingat dia pun.”
“Hmm, bagus. Memang patut pun. Dia tak layak untuk jadi suami kamu, Erin.”
“Eleh. Macam Amar tu layak sangat?” sinisku.
“Memang dia yang paling layak untuk jadi suami kamu. Nak tahu kenapa?” Kak Lin tanya tapi dia tak tunggu aku jawab pun. Dia terus berkata lagi, “Sebab dia seorang saja yang sabar dengan kerenah kamu yang macam-macam ni.”
“Apa? Kak Lin ni dah melampau, tahu. Sengaja aje buat orang geram, kan?” marahku.
“Geram? Pada akak? Yalah tu. Bukan geram pada Amar ke?”
Aku terdiam. Betulkah aku geramkan si doktor nerd tu?
Kak Lin tarik aku dan paksa aku duduk di birai katil. Dia kemudian menarik kerusi lalu duduk di hadapanku. Mata dia tajam menatap anak mataku. “Sekarang, masa untuk kamu lepaskan Azlan. Biar dia pergi daripada hidup kamu sebab dia dah lepaskan kamu awal-awal lagi. Lupakan dia.”
            Aku lepaskan keluhan.
            “Cakap senanglah, Kak Lin. Tahu tak, orang dengan Azlan tu dah bercinta sejak kami di universiti lagi? Dah dekat lapan tahun. Kak Lin ingat boleh ke nak lupa macam tu aje?” omelku.
            “Ini yang dikatakan jodoh itu di tangan Tuhan. Bercintalah berapa lama pun, kalau sudah tertulis yang jodoh kamu bukan dia, inilah jadinya. Ada saja halangan. Kamu tak nampak lagi ke, Erin?”
Aku tarik nafas panjang. “Nampak.” Ringkas jawapan kuberi.
Sebenarnya, aku sedih apabila mengenangi setiap perkara yang kulalui sepanjang hari ini. Majlis perkahwinan yang sudah berbulan-bulan aku rancang akan bertukar menjadi majlis tahlil dan doa selamat sahaja. Tadi, sewaktu abah, mak dan adik-beradik mereka berbincang dengan ibu bapa Amar dan jiran rapat kami, mereka sepakat untuk membuat majlis resepsi di lain waktu. Kata mak, dia mahu aku dan Amar saling mengenali hati budi kami masing-masing dahulu. Nanti bila sudah saling sayang, barulah meriah kalau hendak bersanding pun. Jadi, untuk hari ini, aku dan Amar hanya akan bernikah.
            “Amar tu tak ada kurang sikit pun, Erin. Kalau kamu tu engineer, dia tu doktor. Kalau gaji kamu banyak, gaji dia pun tak kurang besarnya. Kalau...”
            “Kalau dia tak handsome?” Aku mencelah. Geram.
            “Alah, suami tak jadi kamu tu lawa sangat ke?” tanya Kak Lin sambil juihkan bibirnya.
Eee, rasa hendak saja aku tampar mulut dia. Apa kes dia nak banding-bandingkan Azlan dengan si nerd tu? “Dia orang berdua macam langit dengan bumi, Kak Lin.”
            Kak Lin juihkan bibir. “Whatever.”
            Kami terdiam untuk seketika.
            “Muka lawa, tapi hati busuk macam bangkai pun tak guna, Erin. Biar tak smart, biar tak sedap mata memandang, asalkan hati dia baik.”
            “Eleh, baik sangatlah hati si nerd tu? Kak Lin, dia tu pandai ambil kesempatan. Menangguk dalam air keruh. Saje aje nak kenakan orang agaknya. Mungkin nak balas dendam sebab selama ni orang tak pernah suka dia.”
            “Astaghfirullah al-azim. Kamu ni kan, Erin, memang bodoh sombong. Kerja bukan main gah... Juruteralah konon. Tapi, otak tu kosong. Tak pandai menilai orang. Tak tahu nak hargai orang.”
“Kak Lin tak ada hak kutuk-kutuk orang, tahu.” Aku mula marah. Kak Lin menuduh aku sampai begitu sekali? Macamlah perangai aku ni teruk sangat?
“Maksudnya, kamu ada hak nak kutuk-kutuk si Amar tu? Erin, Amar tu boleh aje menolak bila ayah kamu tanya dia tadi. Boleh aje kalau dia nak cakap dia tak mahu kahwin dengan kamu. Tapi, sebab hati dia baik, sebab dia tak mahu keluarga kamu malu, dia terus setuju.”
“Sebab dia bodoh.”
“Bukan dia yang bodoh, Erin. Tapi, kamu. Kamu yang tak tahu nak menilai orang. Yang baik kamu kata jahat. Yang dah tentu jahat tu, kamu puja-puja.”
Geramnya aku. Ilmu apa yang Amar dah guna sehingga semua orang nampak dia tu baik saja? Hebat sangatkah dia?
“Belajarlah menyayangi orang di sekeliling kamu, Erin. Belajarlah menjadi manusia yang prihatin. Jangan hanya pentingkan diri sendiri saja.”
Wah, bisanya kata-kata kakak sepupuku ini. Aku tak boleh tahan dah. Asyik saja aku yang terkena, kan? Mana boleh?
“Apa maksud Kak Lin ni? Kak Lin nak cakap yang selama ini orang sombong, ya? Orang tak prihatin? Orang pentingkan diri? Cakap tu baik-baik sikit, kak. Jangan sesedap rasa menuduh yang bukan-bukan,” marahku.
“Memang kak long tu pentingkan diri sendiri aje.”
Aku pusing ke belakang. Adikku, Qalisya, sedang merenung tepat ke arahku.
What did you just say?” tanyaku. Beranglah apabila adik sendiri mengutuk aku.
“Kak long tak sedar ke yang kak long tu dah banyak menyusahkan semua orang?”
“Apa?”
“Apa yang kak long dah buat untuk abah? Untuk mak? Untuk kami selepas kak long jadi jurutera? Ada kak long hulur duit bantu mak dengan abah?”
Wah, ini sudah melampau. Kenapa si Qalisya mengungkit sampai ke situ pula?
“Bila kak long dapat gaji kak long yang pertama, kak long hulur pada mak dengan abah, Lisya. Tapi, mak dengan abah tolak. Dia orang cakap, tak apa. Abah dengan mak ada duit. Tak payah bagi pada kami. Ni, telinga kak long yang dengar, mata kak long yang nampak perbuatan mereka untuk jadi bukti kak long tak cakap bohong, tahu.” Aku mempertahan diriku.
“Wah, tentu kak long berasa seronok sangat, kan? Habis, kenapa sikit pun kak long tak pernah hulur pada kami, adik-adik kak long yang memerlukan ni?”
“You all ada biasiswa, kan? Helo, kak long dulu pun tak pernah menyusahkan mak dengan abah masa kak long belajar. Jadi, apasal pula kak long nak tolong kau orang?”
Qalisya menguntum senyum. Sinis sekali senyuman yang dapat kulihat itu. Menyakitkan hati ini. “Sebab itulah kami tak rapat dengan kak long. Kak long sombong. Nak minta tolong pun payah. Kak long tak pernah nak tanya kami apa yang kami perlukan. Kak long hanya fikirkan diri kak long aje.”
You are too much.”
Qalisya tak peduli pada kemarahan aku pun. Dia terus berkata lagi. “Tahu tak siapa yang selalu ambil tahu pasal kami? Tu, anak jiran sebelah rumah yang kak long duk kutuk tu. Dia, tempat Lisya dan Amira mengadu kalau kami perlukan pertolongan. Dia tak pentingkan diri macam kak long.”
Aku terkelu lidah apabila nama Amar dipuji-puji di hadapanku. Betulkah apa yang aku dengar? Betulkah dia banyak membantu adik-adikku? Ah, sekali lagi aku jadi malu dengan Amar. Kenapa dia nak buat macam tu? Kenapa dia selalu ambil berat tentang Qalisya dan Amira?
“Sebab kak long tak peduli nak bantu kami. Sebab kak long sibuk bercinta dan habiskan duit kak long untuk suami-tak-jadi-kak-long tu.”
Kelu lagi lidahku. Aku malu. Patutlah adik-adikku tidak rapat dengan aku. Bagi mereka aku ini tak guna. Sedihnya aku. Oh Tuhan, kenapa hari ini semua keburukanku terserlah? Terbongkar?
“Kita orang pun sebenarnya tak suka Abang Amar pilih kak long. Kak long tak layak untuk lelaki sebaik dia. Tapi, sebab kami tahu dia sayang sangat pada kak long, kami setuju dengan dia. Tapi, itu tak bermakna yang kak long boleh tuduh dia, kutuk dia sesuka hati kak long, tahu.” Qalisya berkata sambil melangkah keluar meninggalkan aku dan Kak Lin.
Aku tak mahu memandang wajah Kak Lin sekarang. Aku yakin kalau aku tengok dia, mesti dia sedang tersenyum sinis. Eee, tak sanggup aku. Banyak benar kekuranganku rupa-rupanya. Aku biadab dengan mak dan abah. Aku buat mak menangis. Aku buat abah sedih. Adik-adikku pula dah lama anggap aku kakak sulung yang melampau. Kakak yang hanya fikirkan diri sendiri sahaja. Sedihnya apabila anggota keluarga mengutukku.
Baru aku sedar betapa aku sudah terlalu jauh daripada mereka. Hari ini, barulah aku tersedar bahawa aku ini tidaklah baik sangat. Tidaklah hebat sangat. Baru sedar bahawa aku ini tidaklah seistimewa yang aku harap-harapkan. Aku hanya seorang perempuan biasa yang dah buat banyak salah dan silap.
“Muka cantik tapi hati busuk, buat apa? Tak guna juga, kan?”

Masih teringat kata-kata mak kepada aku sewaktu aku menolak pinangan Amar lima bulan lepas.

“Mak ni kejam betul. Orang tolak baik-baik pinangan dia pun mak marah,” bentakku.
“Mak tak kejam, Erin. Kalau mak kejam, dah lama mak paksa kamu kahwin dengan Amar. Tapi, mak tak buat macam tu sebab mak nak kamu sendiri yang terima dia.”
“Orang tak boleh terima dia, mak. Orang tak suka dia.”
“Kalau tak suka, cakaplah baik-baik. Tak perlulah kamu kutuk-kutuk dia.”
“Alah, bukannya orang kutuk dia teruk-teruk pun.”
“Yalah tu.”
Aku melihat mak bangun. Nampaknya dia hendak meninggalkan aku. Lega. Tapi, kelegaanku sekejap saja. Waktu mak berpaling, aku mendengar kata-katanya.
“Payah bercakap dengan orang yang perasan bagus macam kamu ni. Yang sombong dan pentingkan diri. Yang langsung tak nampak kebaikan orang lain pada kamu...”

Air mataku menitis. Ya, kiranya bukan adik-adikku sahaja yang menuduh aku. Tapi, mak juga sudah pernah mengatakannya. Sedihnya aku. Kenapa aku tak sedar sikapku selama ini telah memberi tekanan kepada mak? Kenapa aku sampai hati mendera perasaannya?
Aku terlalu bangga diri. Kerana aku cantik. Kerana aku berjaya dalam kerjaya. Kerana aku digilai seorang ketua jurutera. Aku lupa diri. Lupa bahawa semua ini anugerah Allah yang harus aku bersyukur dengannya.
Patutlah aku tak ada ramai kawan. Patutlah aku tak begitu digemari dalam kalangan adik-beradikku. Malah, mak-mak saudaraku kurang mesra denganku. Kerana sikap burukku inilah. Aku lepaskan keluhan. Entah untuk kali yang ke berapa, aku tak tahu.
“Mengeluh lagi. Tak habis-habis dengan mengeluh.”
Lamunanku hanyut pergi. Cuma tinggal rasa hendak staple mulut kakak sepupu aku saja. Boleh tak kalau aku tutup mulut dia forever?
“Jodoh itu di tangan Tuhan. Dah jodoh kamu dengan jiran sebelah rumah, reda ajelah.”
“Tak ada orang lain ke, Kak Lin?” Mengingat kata-kata Qalisya menyebabkan aku jadi malu dengan Amar. Tiba-tiba sahaja aku rasa diriku ini tak layak dengan dia.
Kak Lin pukul bahu aku.
“Ouch.”
“Jangan banyak songeh, boleh tak?”
“Kak Lin...”
Kak Lin buat pekak. Sikit pun dia tak peduli pada alun suaraku. Sebaliknya dia sibuk menyambung kerja menyolekkan muka aku yang tadi terhenti sekejap.
“Kak Lin...”
“Boleh tak kalau kamu diam kejap? Bosan nak dengar kamu merintih nama Abang Lan kamu tu. Faham tak?”
Aku pula yang terdiam.
“Erin, lepas ijab dan kabul nanti, Amar akan jadi suami kamu. Tugas kamu ialah mentaati dia. Tak suka macam mana pun kamu pada dia selama ini, sila buang perasaan tu.”
“Orang nak cakap pasal benda nilah. Tapi, tak sempat nak cakap dah kena kunci mulut ni.” Aku mengutuk Kak Lin.
Kak Lin tilik muka aku. “Kamu nak cakap apa? Cakap.”
“Orang nak jadi baik.”
Kak Lin macam tak percaya pada aku. Kenapa?
“Orang nak berubah. Orang tak nak jadi perempuan sombong dah.”
“Jadi, apa kaitannya dengan Amar?”
Aku tarik nafas dalam-dalam. “Kalau menikah dengan Amar dapat buat mak dengan abah gembira, inilah permulaannya, Kak Lin. Inilah permulaan untuk jadi anak yang baik. Bukan begitu?”
Kak Lin senyum dan mengangguk.
“Orang akan buktikan yang orang tak selfish. Yang orang sentiasa sanggup menolong sesiapa aje yang nak minta tolong dengan orang nanti.”
“Hmm, dan tentu nanti Amar boleh tolong kamu. Suami ni imam kita, Erin. Suami yang baik akan bantu isterinya jadi perempuan yang baik.”
Tiba-tiba aku teringat pada kata-kata Amar kepadaku tadi.
“Tapi, untuk pengetahuan awak, saya ada tiga ciri istimewa. Pertama, saya bukan penakut. Kedua, saya tak sombong dan ketiga, saya tak kedekut. Kata Saidina Ali r.a., kalau seorang perempuan kahwin dengan lelaki yang ada tiga ciri ni, perempuan tu dalam golongan mereka yang cerdik dan bertuah, tahu.”
Dia bukan seorang yang penakut kerana itu tentu dia mampu lindungi aku nanti. Dia tak sombong jadi tentu dia mampu didik aku menjadi insan yang tawaduk. Dan, dia tak kedekut. Pastilah dia mampu berikan aku apa sahaja yang aku mahu. Sesungguhnya, aku tak perlukan apa-apa pun daripadanya selain ilmu dan kasih sayang yang dia ada untukku.
Ya, aku harus berubah. Sudah terlalu lama aku buat hati mak berkecai kerana kedegilanku. Sudah terlalu lama aku hampakan abah. Aku sudah dibuang oleh Azlan. Mungkin ibunya dapat melihat sikapku. Siapa tahu, kan?
Harapanku kini ialah Amar. Doktor nerd itu aku perlukan untuk mengenali diriku sendiri. Tidak mengapalah kalau aku ditertawakan kerana memilih dia. Tak apalah kalau dia tak kacak, tak ada six pack, tak maco... Aku reda. Kerana Allah lebih mengetahui setiap sesuatu. Kerana seperti kata Kak Lin...
“Pasti di sebalik kejadian ni, ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin satu waktu nanti, bila kamu kenang balik detik ini, kamu akan berterima kasih pada abah kamu sebab dia yang meminta Amar jadi suami kamu.”

Ya, siapa tahu, kan? Kali ini hatiku tidak lagi gundah. Tidak lagi berkeluh-kesah. Sebaliknya, aku rasa tenang. Dadaku lapang. Mungkinkah kerana hatiku sudah merelakan diri pada perkahwinan ini?

No comments :

Post a Comment

Blog Archive